Kedai Maniam : Kedai Runcit Terawal di Bandar Baru Bangi

Baru-baru ini ketika saya memandu sekitar Bandar Baru Bangi, sengaja saya lalu kawasan kedai-kedai yang menjadi tumpuan kami di zaman kanak-kanak.  Tersenyum sendiri apabila terkenang zaman itu yang bahagia dengan permainan gasing, guli, tepuk daun terup, konda-kondi, baling selipar, galah panjang dan lain-lain lagi.  Pasar Mini Kiat Siong, Kedai Kassim, Pasar Mini Tanjung, Mini Desa, Desanika, Kedai buku Syabab, Kedai Jamilah dan Kedai Maniam adalah antara kedai-kedai yang menjadi tumpuan pada tahun 80an, 90an dahulu.

Masih ada kedai-kedai yang masih kekal sehingga kini dan ada yang telah tiada.  Saya berhenti di Kedai Runcit Maniam untuk melihat-lihat pakaian kanak-kanak kerana sedari dulu kedai Maniam ada menjual pakaian kanak-kanak yang murah.  Kebiasaannya mereka mempamirkan baju-baju harga kilang di hadapan kedai runcit mereka.  Kebetulan pada waktu saya singgah di Kedai Maniam Puan Devi dan anaknya berada di kedai dan saya mengambil peluang berbual dan bercerita tentang kenangan zaman 80 – 90an jika berkunjung ke kedai mereka.

Kedai Runcit Maniam

Untuk makluman berinfomasi kali ini saya ingin berkongsikan sedikit maklumat bersama penduduk Bandar Baru Bangi tentang Kedai Runcit Maniam ini.  Kedai runcit ini sebenarnya diberi nama Kedai Runcit Devi (isteri kepada Uncle Maniam) tetapi lebih dikenali dengan panggilan “Kedai Maniam“.  Mereka memulakan perniagaan runcit ini seawal 1979 dan lokasi pertama kedai runcit mereka adalah di Jalan 1/2 seksyen 1 BBB (berdekatan Sekolah Memandu Mazris).  Pada tahun 1988 mereka berpindah ke seksyen 16 (atau dikenali dengan Jalan 6) dan kekal sehingga kini.

Pengasas : Pn. Devi & En. Maniam

Selepas itu mereka mengembangkan perniagaan mereka dengan membuka Kedai Gunting Rambut Devi bersebelahan kedai runcit mereka di Jalan 6.  Ramai tokoh-tokoh terkenal di BBB mendapatkan khidmat gunting rambut di kedai mereka seperti Dato’ Dr. Haji Mohd Fadzilah Kamsah, Tan Sri Dr. Ahmad Tajuddin Ali, Allahyarham Tuan Guru Dato’ Dr. Haji Haron Din, Dato’ Sharif Jajang dan beberapa selebriti yang menetap sekitar BBB.  Kini mereka telah mempunyai 3 cawangan kedai gunting rambut di sekitar BBB iaitu di sekysen 16, seksyen 15 dan seksyen 3.

Kedai Gunting Rambut Devi

Perniagaan kedai runcit dan gunting rambut ini diasaskan oleh Puan Devi dan Encik Maniam.  Apa yang menarik tentang kedai ini dan mampu bertahan lama adalah kerana kedai runcit mereka beroperasi setiap hari seawal jam 6 pagi dan ditutup pada 10 malam.  Waktu operasi yang dibuka awal menjadi salah satu faktor kedai runcit mereka menjadi tumpuan pada ketika itu bagi penduduk setempat mendapatkan pelbagai barang keperluan.

Kedai runcit Maniam juga agak unik dan boleh dikatakan pelbagai barang keperluan mudah didapati di kedai mereka.  Tanyalah apa sahaja dari barang keperluan dapur, minyak tanah, arang, baju, permainan kanak-kanak dan barang-barang unik yang lain.  Antara item/produk unik yang boleh didapati di kedai mereka adalah rempah ratus, manjakani, jintan hitam, kemenyan, kapur barus, sintok, setanggi, periuk tanah liat, bekas tanah liat (untuk bakar kemenyan), air jemuju, air mawar, pinang, tembakau, buah pala, kembang semangkuk, tawas, belerang, gambir, getah anggur, abu sotong, jadam, jerangau putih kering dan macam-macam lagi.  Banyak kan?  Tanya apa sahaja barang boleh dikatakan pada waktu itu semuanya ada.

Kini usia Puan Devi telah menjangkau 63 tahun, manakala Encik Maniam telah berusia 74 tahun.  Cabaran dan saingan perniagaan juga telah jauh berbeza dari zaman 80-90an dahulu.  Syukur Puan Devi dan Encik Maniam dikurniakan anak-anak yang kini turut sama membantu perniagaan mereka.  Saya difahamkan Kedai Runcit Maniam mengubah strategi perniagaan mereka dengan terpaksa akur menutup Kedai Runcit di Jalan 6 dan mengusahakan perniagaan berkonsep Balloon & Party Supply.

Anak-anak pasangan Puan Devi dan Encik Maniam sebelum ini telah memulakan perniagaan berkonsepkan Balloon & Party Supply bagi menyokong perniagaan perniagaan mereka.  Jadi langkah seterusnya adalah menjadikan Kedai Runcit Maniam Jalan 6 sebagai :-

-Pejabat & Stor Bisnes E-Commerce (3B Wondermart)
-Belon,Peralatan Party dan Bunga (3B Wonderland)
-Customised Product
( Wonder Innovation Hub)

Langkah ini terpaksa diambil oleh mereka untuk kekal berada dalam industri perniagaan dan anak-anak Pn. Devi dan En. Maniam mahu memastikan ibu bapa mereka menjalankan perniagaan secara santai disebabkan faktor usia yang telah lanjut.

Saya difahamkan mereka sedang membuat clearance sales di Kedai Maniam seksyen 16.  Barang-barang yang dijual dengan harga diskaun adalah seperti Pampers, tepung susu, biskut, maggi, barangan masakan, tuala wanita, sabun.  Mereka mempelawa penduduk BBB untuk berkunjung ke Clearance Sales ini dan berharap warga BBB terus menyokong perniagaan berkonsep baru mereka selepas ini.  Walaupun kedai Runcit Maniam bakal ditutup, tetapi mereka sekeluarga masih meneruskan perniagaan Kedai Gunting Rambut, alatan permainan kanak-kanak, pakaian dan Balloon & Party Supply.

Jualan Penghabisan Stok

Bagi hemat saya mereka bukan kecundang tetapi mereka mengubah strategi perniagaan mereka dan terus berkembang selari dengan perkembangan dunia perniagaan semasa yang begitu mencabar.  Mereka adalah salah satu contoh peniaga yang lama dan masih bertahan di dalam komuniti BBB.  Kenangan di Kedai Runcit Maniam akan tetap utuh dalam ingatan kita dan kita doakan peniaga-peniaga di BBB akan terus bertahan, berjaya dan berkembang!

Be the first to comment on "Kedai Maniam : Kedai Runcit Terawal di Bandar Baru Bangi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares