Restoran Lagenda di Bandar Baru Bangi : Restoran Azura

Gerai Azura di Medan Selera Seksyen 16 BBB - Beroperasi sehingga kini.

Kali ini Gedung Minda Botak (GMB) mahu mengajak pembaca mengimbau kenangan dan memori penduduk Bandar Baru Bangi (BBB) atau yang pernah tinggal di Bandar Baru Bangi.  Terlalu banyak kenangan jika hendak diceritakan kerana GMB tinggal di BBB semenjak tahun 1980 dan sejak akhir-akhir ini tatkala negara kita diuji dengan Wabak Covid-19, GMB melihat hampir keseluruhan peniaga melalui cabaran yang getir.

Maka terdetiklah di hati GMB kenangan bila melihat peniaga-peniaga di sekitar BBB lebih-lebih lagi peniaga-peniaga yang telah lama bertahan di BBB.  Di antaranya Restoran Adam, Restoran Azura, Kedai Runcit Kiat Siong, Kedai Runcit Maniam dan beberapa lagi peniaga lama di BBB.

Kali ini GMB mahu berkongsi cerita berkenaan sejarah tentang Restoran Azura.  Kisah tentang restoran ini GMB perolehi dari pengasasnya sendiri iaitu arwah Pakcik Ibrahim (Meninggal pada 6 Ogos 2018 Al-Fatihah) dan dari anak sulungnya yang kini meneruskan legasi perniagaan ayah dan ibunya.

Medan Selera Seksyen 13 Bandar Baru Bangi

Restoran Azura memulakan langkahnya di Medan Selera Seksyen 13 BBB iaitu Medan Selera yang berdekatan kawasan perindustrian pada 1996  dan seterusnya berpindah di Medan Selera Seksyen 16 atau orang lama BBB akan sebut Medan Selera Shell (Stesen Minyak Shell pertama di BBB) pada tahun 1998.

Nama gerai/restoran ini diambil sempena nama anak kedua arwah Pakcik Ibrahim iaitu Azura.  Pada awal 1990an kawasan Medan Selera Seksyen 16 ini adalah kawasan tumpuan warga BBB dan ianya pernah diwartakan sebagai Pusat Bandar BBB di dalam peta BBB pada ketika itu.

Gerai Azura di Medan Selera Seksyen 16 BBB – Beroperasi sehingga kini.

Berpuluh-puluh gerai Tom Yam dan nasi campur tumbuh bak cendawan tumbuh selepas hujan di kawasan ini dan Gerai Azura menjadi antara pilihan pelajar-pelajar UKM dan pekerja kilang waktu itu kerana terkenal dengan harga yang murah dan masakan yang sedap.

Jika ditanya kepada GMB, antara masakan pilihan pada waktu itu adalah Nasi Ayam Tempayan dan Pajeri Nanas menjadi kegemaran.  Manakala di sebelah malam masakan Tom Yam dan Nasi Goreng yang berharga RM2.50 adalah trade-mark Gerai Azura pada suatu ketika di awal tahun 2000 an dahulu.

Ayam Tempayan yang digunakan untuk Nasi Ayam

Pada tahun 2006 Gerai Azura telah melebarkan sayapnya dan membuka cawangan di Seksyen 3 dengan nama Restoran Azura di mana cawangan ini diuruskan oleh anak sulung arwah Pakcik Ibrahim.  Mengekalkan trade-mark mereka dengan harga yang murah serta masakan lauk pauk yang enak dan cawangan baru ini beroperasi 24 jam dengan pilihan makanan yang pelbagai dari masakan Melayu, Ala-Thai, roti canai dan juga masakan barat.

Kini BBB telah mempunyai banyak restoran dan pengusaha kedai makanan dan ada sesetengahnya melabelkan BBB sebagai “Syurga Makanan”.  Walaupun telah wujud lebih banyak pesaing, Restoran Azura masih mampu bertahan dan masih meneruskan legasinya walau dalam kepayahan situasi wabak yang melanda.

Restoran Azura Seksyen 3 Bandar Baru Bangi

Pernah GMB bertanya resepi rahsia bagaimana Restoran Azura ini boleh bertahan lama?  Antara “pelaris” yang diamalkan mereka adalah memberi salam (Assalamualaikum) apabila mula masuk ke restoran dan berselawat ke atas Junjungan Nabi Muhammad SAW.  Amalan ini digalakkan kepada seluruh warga kerja mereka.  Tidak lupa juga, pengusaha Restoran Azura ini juga berusaha menggunakan produk Islam dan Bumiputera dalam masakan mereka kerana baginya ia adalah sebahagian dari Jihad memberi makanan yang baik kepada pelanggan.

Jika anda ada pengalaman manis atau masakan kegemaran, baik di Gerai Azura Sekysen 16 atau di Restoran Azura Seksyen 3 bolehlah dikongsikan bersama pembaca lain.  Niat GMB hanya untuk melihat peniaga-peniaga lama/otai yang telah lama bertapak di BBB ini terus bertahan dan kita sama-sama doakan semua peniaga di BBB juga dipermudahkan urusan serta dilimpahi rezeki tanpa putus seperti air dari telaga zam-zam.

Kita cungkil kenangan dan sejarah sambil membantu ekonomi peniaga di musim Wabak Covid-19 ini.  Mohon komen murni sahaja kerana ini mungkin salah satu usaha kita untuk membantu ekonomi komuniti Bandar Baru Bangi.

Be the first to comment on "Restoran Lagenda di Bandar Baru Bangi : Restoran Azura"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares