Perang Vaksin dengan AntiVaksin

Akhir-akhir ini penulis melihat semakin hangat isu vaksinisasi oleh netizen di media-media sosial.  Antara isu yang diperdebatkan adalah kesan dan perkongsian fakta-fakta dari netizen yang telah mengambil vaksin dan dengan indvidu yang menolak untuk divaksin (penulis tidak gemar melabel antivaksin kerana kebanyakan dari mereka hanya menolak Vaksin Covid-19).

Bagi rakyat yang telah mendapat 2 dos vaksin, kerajaan telah mewartakan beberapa kelonggaran dan kelebihan buat mereka.  Perkara ini telah menyebabkan beberapa individu mengambil peluang “membahan” netizen yang menolak untuk divaksin.

Penulis berasa sebak dan sedih kerana melihat suasana begini tidak begitu sihat bagi kita semua yang terkesan dengan situasi wabak Covid-19 ini.  Pendirian manusia berbagai-bagai, pilihan manusia berbeza-beza dan ketentuan serta takdir setiap hambaNya juga tidak sama.

Setiap pendapat membentangkan pendapat serta fakta masing-masing sehinggakan kita terleka atau terlupa menjaga adab.  Sehinggakan ada yang marah, kecewa, sedih dan mungkin berdendam kerana pendirian yang dipertahankan kedua-dua pihak sehingga tidak mempedulikan penggunaan gaya bahasa, sindiran, kata-kata kesat dan sebagainya.

Pilihan kita tanggungjawab kita

Fakta, kajian, pengalaman, pengetahuan, ilmu dan kelebihan kita semua sebenarnya tidak mampu menandingi kehebatan Allah yang Maha Berkuasa lagi Maha Mengetahui atas segala yang terjadi kini.  Mungkin kita rasa apa yang kita pertahankan serta pendirian kita betul tanpa kita menyedari di setiap kejadian ada hikmah serta rahsiaNya.

Setiap pendapat sebenarnya mempunyai maksud serta niat yang sama iaitu untuk memiliki tubuh yang sihat serta berikhtiar agar tidak mudah atau tidak dijangkiti oleh wabak.  Tetapi yakinlah kita akan segala ikhtiar yang kita lakukan samada melalui vaksinisasi atau melalui kaedah alternatif lain (amalan pemakanan sunnah atau lain-lain) haruslah kita niatkan ikhtiar kita mendapat keizinan Allah agar ianya menjadi ikhtiar yang mujarab bagi menghindari wabak ini.

Maka pandanglah setiap dari kita ini sebagai saudara dan menggunakan pandangan kasih sayang.  Kita boleh berbeza pendapat atau pendirian tetapi jangan sehingga melampaui batas kerana pergolakan manusia di akhir zaman mungkin tercetus angkara perbezaan pendirian yang terlalu mengikut nafsu.

Sama-sama kita mendoakan kebaikan sesama kita walaupun kita mempunyai pendapat dan pendirian yang berbeza.  Tidak perlu berusaha keras untuk orang lain berpihak dengan pendapat serta pandangan kita kerana jika perkongsian kita cukup baik serta penuh hikmah, tentunya Allah bersama dengan kita.

Terus mendoakan kebaikan di antara kita, serta kita semua dilindungi Allah tidak kira kita telah divaksin atau tidak mahu divaksin.  Pokoknya kita semua mengimpikan wabak Covid ini terhapus secara mutlak dari muka bumi ini.

Be the first to comment on "Perang Vaksin dengan AntiVaksin"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares