Kedai Runcit Lagenda Bangi – Pasar Mini Kiat Siong

Siapa yang tidak mengenali atau mengetahui lokasi Pasar Mini Kiat Siong di Bandar Baru Bangi?  Jika anda tidak tahu, bermakna anda adalah penduduk baru di BBB kerana Pasar Mini ini adalah antara Pasar Mini lama dan masih bertahan di BBB.

Bagi mereka yang tinggal di sekitar fasa 1, 2 dan 3 (dahulu kami tak panggil seksyen),  bersekolah di Sekolah Menengah Bandar Baru Bangi dan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi, Pasar Mini ini adalah tumpuan bagi memperolehi barang-barang keperluan sekitar tahun 1990an dulu.

Pasar Mini Kiat Siong juga menghidangkan permainan-permainan terkini di zaman 1990 dan juga komik-komik pahlawan seperti Dewata Raya, Alam Perwira, Pendekar Laut, Raja Rimba, Pedang Setiawan dan berbagai lagi.  Ada satu ketika di zaman permainan kereta mainan Tamiya sedang masyhur, Pasar Mini Kiat Siong menjadi tumpuan untuk mendapatkan permainan tersebut.  Malah komponen-komponen aksesori dan naiktaraf Tamiya juga terdapat di Kiat Siong.

Pasar Mini Kiat Siong adalah pasaraya mainan yang menjadi igauan kanak-kanak sekitar BBB zaman itu.  Sebut sahaja permainan apa yang tiada di Kiat Siong ketika itu? Permainan-permainan yang dijual adalah terkini serta mengikut peredaran musim permainan ketika itu seperti musim permainan konsol Micro Genius, gasing, guli, layang-layang, tepuk daun terup dan tidak lupa Kiat Siong juga menjual barangan keperluan sukan serta terdapat perkhidmatan memasang tali raket badminton.

Untuk memastikan penulisan ini berupa pengisian ilmu, ingin Gedung Minda Botak (GMB) berkongsi serba sedikit maklumat yang diperolehi secara terus dari pemilik Pasar Mini Kiat Siong iaitu Uncle Siong.  Buat pengetahuan pembaca Uncle Siong memulakan perniagaan ini pada tahun 1988 setelah beliau berhenti kerja.  Uncle Siong berasal dari Dengkil dan amat selesa dengan komuniti BBB yang majoritinya adalah masyarakat Melayu.

Bermula dari menyewa lot kedai tengah (intermediate) dan setelah perniagaan percetakan di sebelah lot kedai beliau tutup, beliau berpindah ke lot tepi (lokasi kedai sekarang) di Jalan 1/4A, Seksyen 1 BBB.  Kini lot kedai lama beliau diambil alih oleh adiknya yang menjalankan perniagaan jahitan dan runcit.

Uncle Siong mempunyai 4 orang anak dan 3 orang daripadanya lahir semasa beliau telah memulakan Pasar Mini Kiat Siong di BBB.  Berkongsi kenangan manis beliau ketika perniagaannya memuncak adalah pada sekitar tahun 1993 – 1996 kerana pada waktu itu komuniti BBB dipenuhi oleh kalangan kanak-kanak dan remaja serta kerancakan pembangunan di BBB pada ketika itu.

Keratan akhbar New Straits Times 11 Jun 2012

Anda pasti sedang tersenyum sendiri tatkala membaca penulisan ini kerana teringat kenangan-kenangan lama.   Tujuan Gedung Minda Botak (GMB) menulis tentang Pasar Mini Kiat Siong ini tidak lain dan tidak bukan adalah untuk mengajak komuniti BBB terus menyokong perniagaan mereka yang semakin tertekan disebabkan wabak Covid-19 yang melanda kita dan juga percambahan perniagaan francais runcit yang giat berkembang kini.

Pasar Mini Kiat Siong juga adalah sebahagian dari komuniti BBB yang perlu kita sokong kerana Kiat Siong antara peniaga lagenda di BBB.  Untuk makluman Pasar Mini Kiat Siong menjalankan perniagaan runcit, gas memasak, menyediakan perkhidmatan penghantaran, jahit tepi dan juga membaiki raket badminton.

Sila kunjungi FB Kiat Siong di pautan : https://www.facebook.com/minimarketkiatseong/

Be the first to comment on "Kedai Runcit Lagenda Bangi – Pasar Mini Kiat Siong"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares