Teladan : Kisah Pembunuhan Manusia Pertama Di Dunia

Gedung Minda Botak (GMB) mengambil masa yang cukup lama untuk menghasilkan penulisan buat masa ini kerana GMB dalam situasi emosi yang tidak stabil sejak Malaysia diserang gelombang wabak Covid-19 yang ketiga ini.

Jadi GMB mengambil keputusan berhenti menulis seketika kerana tidak mahu terlibat dalam penulisan yang beremosi atau dipengaruhi emosi. Setelah beberapa ketika dan mentelaah beberapa bahan bacaan serta berkomunikasi dengan beberapa guru makanya kini GMB bersedia dengan emosi yang tenang.

Ketika ini kita melihat begitu banyak isu-isu semasa yang melibatkan salah faham dan perdebatan di media-media sosial baik dari sudut politik, kerja kebajikan, agama, sosial, ekonomi dan berbagai lagi. Kerancakan aktiviti-aktiviti ini membuahkan begitu banyak kecaman, fitnah, kata-kata kesat, sinis dan berbagai lagi.

Di dalam sebuah buku tulisan Al-Habib Abu Bakar Al-Adni Bin Ali Al-Masyhur (An-Nubzah Sughro) berkaitan tanda-tanda kiamat kecil, sederhana dan besar GMB menemukan saranan tentang kaedah menghindari Fitnah adalah :

a) Menjaga lisan/perkataan dari mencela.
b) Memelihara tangan dari melakukan pertumpahan darah.

Bagi umat Islam, Allah telah menghidangkan kita tentang kisah perdebatan, persengketaan dan pertumpahan darah pertama manusia di dalam Surah Al-Maidah (ayat 27-31) yang disampaikan oleh Nabi Muhammad S.A.W sebagai rujukan lebih-lebih lagi kepada kita umat akhir zaman. Kisah tentang Habil & Qabil ini sangat memberi kesan kepada kita jika difahami dengan mendalam dan teliti.

Kisah Habil & Qabil yang dilihat akibat dari hawa nafsu, perdebatan, fitnah dan akhirnya pertumpahan darah. Satu sudut juga Allah mengajarkan kita hambaNya kaedah menghadapi fitnah dan debat seperti yang dilakukan Habil apabila menghadapi Qabil yang diwahyukan oleh Allah di dalam Surah Al-Maidah :

“Demi sesungguhnya! Jika engkau hulurkan tanganmu kepadaku untuk membunuhku, aku tidak sekali-kali akan menghulurkan tanganku kepadamu untuk membunuhmu. Kerana sesungguhnya aku takut kepada Allah, Tuhan Yang mentadbirkan sekalian alam.” (Surah al-Maidah ayat 28).

Melihat pada tindakan Habil yang tidak mahu membalas tindakan Qabil yang mahu membunuhnya dan menyatakan rasa takut kepada Allah.  Tindakan lembut dari Habil bagi mengelakkan pertumpahan darah dan mengingatkan saudaranya tentang kekuasaan Allah.  Tetapi akhirnya Habil dibunuh oleh Qabil dan timbul rasa kekesalan pada diri Qabil kerana tindakannya yang mengikut hawa nafsu serta amarah.  Inilah kisah pembunuhan manusia pertama di dunia.

Suka untuk GMB mengambil iktibar dari kisah yang termaktub dalam Surah Al-Maidah ini bahawa hasad dengki, bersangka buruk, tidak sabar, emosi, mengikut hawa nafsu dan pertumpahan darah akhirnya akan menimbulkan kekesalan yang tiada kesudahan serta boleh menghantui diri kita.

Be the first to comment on "Teladan : Kisah Pembunuhan Manusia Pertama Di Dunia"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares