Terowong Lagenda Bandar Baru Bangi

Pada mereka yang lahir dan pernah bersekolah di Sekolah Rendah Bandar Baru Bangi (Jalan 2), Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (Jalan 2), Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Bangi (Jalan 3) sekitar tahun 1980an dan 1990an pasti tahu tentang kewujudan terowong ini.

Ianya menjadi laluan pejalan kaki, penunggang basikal dan motosikal sebagai jalan pintas sama ada dari Seksyen 3 dan 4 ke Seksyen 1 dan 2 atau sebaliknya (bagi orang lama di Bandar Baru Bangi sebutan Fasa lebih selesa dari Seksyen).

Laluan pintas di antara Seksyen 2 dan Seksyen 3 BBB (Gambar FB Mahluddin Sahrin).

Parit besar yang dahulunya hanya dihubungkan titi kayu (Gambar FB Mazwan Johar)

Laluan dari terowong tersebut ke Seksyen 3 pada awalnya hanyalah menggunakan titi kayu kecil sebagai penghubung dari terowong tersebut ke Seksyen 3 untuk menyeberangi sebuah parit besar di situ. Parit tersebut juga pernah menjadi lokasi memancing remaja sekitar kawasan tersebut yang gemar memancing.

Di tepi laluan ini terdapat padang permainan bagi kemudahan kanak-kanak sekitar Seksyen 2 dan 3 dan terdapat 3 laluan bertangga ke Seksyen 2 (Kawasan Damai) di mana setiap tangga menjadi tempat remaja berhampiran berkumpul pada waktu petang.

Sempadan di antara laluan pejalan kaki dan motorsikal adalah sempadan peperangan mercun di bulan Ramadhan bagi kanak-kanak Kariah Surau Al-Ihsan & Kariah Surau Damai pada zaman 80 – 90an. Pada zaman itu kawasan perumahan di dua kariah ini tidak pernah sunyi dengan dentuman mercun dan keriuhan kanak-kanak bermain mercun (sebelum mercun diharamkan di Malaysia).

Gambar diambil dari hadapan Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi Seksyen 2.

Padang permainan di situ juga tidak pernah sunyi dengan kanak-kanak apabila waktu petang. Setiap ruang padang digunakan untuk bermain bola sepak, bola lisut (kami gelar rounders), bola chop, konda-kondi dan berbagai lagi aktiviti kanak-kanak. Kini padang permainan tersebut terbiar dan tidak diselenggara.

Pada ketika itu juga pangsapuri-pangsapuri sekitar Seksyen 2 dan 3 menjadi penempatan asrama pekerja-pekerja kilang sekitar Bangi (Sebelum kewujudan Asrama Seri Ayu Seksyen 4).

Kini laluan ini tidak lagi sepopular dahulu, mungkin kerana tidak ramai pelajar sekolah yang ke sekolah berjalan kaki, mungkin populasi kanak-kanak di Bandar Baru Bangi telah berkurangan atau mungkin juga laluan ini tidak diselanggara dengan baik dan agak berbahaya.

Lawatan YB ADUN Sungai Ramal Hj. Mazwan Johar ke lokasi laluan tersebut baru-baru ini telah memberi sedikit nafas baru kepada laluan ini di mana beliau telah berusaha untuk memulihara kawasan tersebut dengan kerjasama JKR Hulu Langat dan pihak PBT.

Lawatan tapak oleh ADUN Sungai Ramal (Gambar FB Mazwan Johar).

Gedung Minda Botak (GMB) di antara individu yang mempunyai banyak kenangan serta memori zaman kanak-kanak sehingga remaja di lokasi ini. Daripada membiarkan kawasan ini terus terbiar, ada beberapa idea yang menerjah ke minda GMB yang mungkin sesuai dengan peredaran zaman serta perkembangan Bandar Baru Bangi.

Terowong kembali bercahaya diselanggara oleh JKR Hulu Langat (Gambar FB Mazwan Johar).

Anda pula bagaimana? Jika ada sebarang idea, mungkin boleh kongsikan untuk kebaikan komuniti Bandar Baru Bangi.

Be the first to comment on "Terowong Lagenda Bandar Baru Bangi"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares