Perdana Menteri – “Tak buka selama-lamanya bagus juga kot”.

Memetik ruangan rencana bertajuk “Kelab malam, cukup-cukuplah” akhbar Utusan Malaysia pada 21 September 2020 oleh saudara Ku Seman Ku Hussain, Gedung Minda Botak (GMB) sangat tertarik dan amat bersetuju dengan pandangan beliau.  Ditambah pula dengan petikan Perdana Menteri kita Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mungkin secara berseloroh mengatakan “Tak buka selama-lamanya bagus juga kot”.

Rencana saudara Ku Seman Ku Hussain bagai ada impaknya bila mana “Polis gempur kelab malam” menjadi tajuk utama akhbar Utusan Malaysia pada hari ini (23 September 2020).

Sumber : Keratan akhbar Utusan Malaysia 23 September 2020

Sepanjang tempoh PKP selama 3 bulan, kebanyakan operasi perniagaan diarahkan tutup termasuk kelab-kelab malam dan sehingga ke hari ini kelab-kelab malam masih tidak dibenarkan beroperasi oleh kerana aktiviti kelab malam ini diketahui umum amat sukar untuk mematuhi SOP PKP yang diarahkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia seperti penjarakan sosial dan lain-lain.

GMB berpandangan penutupan terus kelab-kelab malam ini dapat mengurangkan banyak gejala-gejala negatif di kalangan belia kita dan momentum PKP selama 3 bulan tempoh hari dapat kita teruskan kerana remaja-remaja yang setia berlibur sehingga awal pagi sebelum ini mungkin sudah lebih selesa berada di rumah serta bersama keluarga.  Tentunya banyak aktiviti-aktiviti berfaedah bersama keluarga telah dilalui mereka yang dapat melupakan “ketagihan” mereka pada aktiviti luar yang tidak berfaedah.

“Tak buka selama-lamanya bagus juga kot” – Tan Sri Muhyiddin Yassin

Kita juga dapat lihat Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Abdul Hamid Bador begitu serius sehingga mahu mengenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) yang biasanya membabitkan jenayah berat ke atas pemilik kelab malam.  Ini disebabkan didapati ada kelab malam yang dijadikan pusat dadah yang mengulangi kesalahan di mana tindakan kompaun sahaja tidak berkesan ke atas mereka ini.  KPN juga meminta kerjasama pihak PBT untuk membatalkan dan tidak memperbaharui Permit Perniagaan pusat-pusat hiburan yang dikenakan tindakan ini.

Kerjasama semua pihak penguatkuasa amat penting dalam menangani gejala negatif akibat aktiviti di kelab malam ini yang mana memang sukar selagi ada pihak berkepentingan dalam sektor perniagaan pusat hiburan ini tetapi tidak mustahil untuk dilaksanakan.

Sumber : Keratan akhbar Utusan Malaysia 23 September 2020

Di pusat hiburan/kelab malam ini tiada aktiviti berfaedah, malah menggalakkan perlakuan maksiat, minuman keras hingga mabuk, pergaulan bebas, pengambilan dadah dan sebagainya.  Sesetengah pusat hiburan dijadikan pilihan bagi urusan “under table” atau sebagai “habuan” bagi individu-individu tidak amanah.  Jika kita lihat selepas PKP, kita sudah mula bebas keluar bekerja dan ke mana-mana yang menyumbang kepada angka kematian adalah faktor kemalangan jalan raya akibat pemandu mabuk.

Kita dapat melihat banyak hikmah akibat Wabak Covid19 yang diutuskan oleh Tuhan baru-baru ini.  Indeks bacaan udara menjadi baik, sungai-sungai menjadi bersih, angka kematian akibat kemalangan jalan raya hampir tiada, institusi kekeluargaan bertambah utuh, bulan Ramadhan dilalui dengan penuh kebaikan di mana kita boleh fokus pada ibadah dan lain-lain lagi.  Tetapi ianya mustahil untuk kita semua terus kekal di dalam rumah.  Cumanya Tuhan telah menunjukkan hikmah dari wabak ini di mana kerosakan dan kemusnahan yang berlaku selama ini adalah dari tangan-tangan kita.

Haramkan sahaja perniagaan pusat-pusat hiburan ini kerana Tuhan telah pun menegur kita melalui wabak ini.  Seluruh dunia terkesan dan apakah kita telah lupa kesan negatifnya terhadap kita semua?  Hanya makhluk kenit sahaja dihantar untuk menyedarkan kita, belum lagi azab yang besar sudah kelam-kabut seluruh dunia.

Firman Allah dalam Surah Ar-Rum ayat 41 ini kita jadikanlah peringatan “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah SWT hendak mereka merasakan sebahagian daripada balasan perbuatan-perbuatan buruk yang telah mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”.

Setuju atau tidak jika kelab-kelab malam ini ditutup terus?

Be the first to comment on "Perdana Menteri – “Tak buka selama-lamanya bagus juga kot”."

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares