Aplikasi Whatsapp Ganggu Waktu Kualiti Keluarga

Perkhidmatan telekomunikasi mudah alih di Malaysia mula bertapak pada tahun 1985 adalah sistem Nordic Mobile Telephone (NMT) dikendalikan oleh Telekom Malaysia sebelum ianya berkembang sehingga ke hari ini.  Evolusi gajet elektronik ini berkembang dengan pesat serta mempengaruhi kaedah interaksi masa kini.

Telefon bimbit dahulunya hanyalah sekadar untuk panggilan telefon biasa berkembang kepada sistem pesanan ringkas (SMS) dan kini telefon bimbit digelar telefon pintar yang mampu menyelesaikan banyak urusan manusia hanya dihujung jari.

Istilah telefon pintar ini kena pada gajet tersebut tetapi tidak pada penggunaanya.  Jika kita perhatikan masa kini setiap peringkat umur tidak lekang tangannya memegang telefon pintar ini melayari internet, berbual melalui aplikasi-aplikasi tertentu, bermain game, bersosial melalui media sosial, bergambar dan sebagainya.

Gajet ini dicipta untuk memudahkan urusan manusia, sayangnya ianya disalahgunakan oleh segelintir manusia.  Dahulunya habis waktu bekerja, ibu ayah kita ada banyak masa untuk bersama kita.  Meluangkan masa beraktiviti luar bersama anak, bersukan, bersembang, minum petang bersama keluarga dan sebagainya tanpa apa-apa gangguan.  Jika ada perkara penting makanya telefon rumah akan berdering dan ianya jarang berlaku setelah selesai waktu bekerja.

Sumber : Google

Tapi kini aplikasi-aplikasi dalam telefon pintar banyak mencuri waktu “bekeluarga” kita disebabkan oleh aplikasi Whatsapp contohnya.  Urusan kerja sehingga ke waktu malam dan perbincangan berkaitan urusan kerja seolah-olah tidak ada pengakhirannya.  Ada pendapat majikan lama saya mengatakan “Bagi saya pesanan melalui Whatsapp tidak mengganggu”.  Sedar atau tidak, minda kita sentiasa berputar sekiranya pesanan yang dihantar adalah berkaitan soal urusan kerja dari bos kita?

Mungkin pada ketika itu kita sedang bermain dengan anak-anak dan pesanan yang dihantar dari majikan itu adalah perkara yang menggusarkan kita.  Secara automatik emosi kita pasti terganggu dan ini boleh memberi impak tidak baik kepada anak-anak yang pada ketika itu memerlukan perhatian kita.

Sumber : Google

Waktu bekerja biasa adalah dari jam 8.00 pagi hingga 5.00 petang itu seolah-olah tidak mencukupi untuk menguruskan urusan kerja.  Arahan dan peringatan dari majikan pula tanpa henti sehingga melepasi waktu bekerja seolah-olah majikan berkuasa penuh terhadap seluruh kehidupan pekerjanya.

Berdasarkan  Seksyen 60A (1) Akta Kerja 1995, seseorang itu tidak boleh diarahkan bekerja lebih 5 jam berterusan tanpa rehat dan tidak melebihi 8 jam sehari atau 48 jam seminggu, jika pekerja bekerja melebihi tempoh tersebut, mereka berhak menuntut bayaran lebih masa.

Majikan atau pegawai atasan perlu menguruskan masa dengan lebih bijak bagi mengelakkan keperluan komunikasi dengan pekerja selepas waktu bekerja.  Kebanyakan majikan atau pegawai atasan kini tidak lagi menghormati waktu dan ini menyumbang kepada peningkatan kadar tekanan pekerja yang mungkin boleh mengakibatkan lebih banyak perkara negatif terjadi seperti tekanan perasaan, gangguan mental, dera, penceraian dan sebagainya.

Sama-sama kita renungkan pada zaman tiadanya telefon pintar ini, bagaimana segala urusan kerja pada zaman itu dapat diselesaikan dan disiplin masa serta akhlak ini adalah contoh terbaik tingginya adab orang zaman terdahulu dalam menghormati masa orang lain.  Anda pasti setuju jika terdapat akta atau undang-undang yang menyekat majikan atau pegawai atasan berhubung dengan anda selepas waktu bekerja kan?

Be the first to comment on "Aplikasi Whatsapp Ganggu Waktu Kualiti Keluarga"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares