31 Ogos… Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan?

Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

Penulis : En. Anuar Ahmad. Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM. Bidang Kepakaran : Pendidikan Sejarah & Kewarganegaraan.

Nampak seperti remeh tetapi sebenarnya memberi kesan kepada memaknai sejarah negara kita.  31 Ogos adalah tarikh sambutan hari KEMERDEKAAN bagi Persekutuan Malaysia.  Pada masa yang sama Sarawak juga mewartakan sambutan hari kemerdekaan peringkat negeri pada 22 Julai dan Sabah mewartakan hari kemerdekaan peringkat negeri pada 16 September.

Tarikh kemerdekaan bagi Malaya (Persekutuan Tanah Melayu), Sarawak dan Sabah memang tidak sama.  Malaya atau Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, Sarawak merdeka pada 22 Julai 1963 dan Sabah merdeka pada 16 September 1963. Ini sejarah,  Cumanya, tarikh 31 Ogos telah diwartakan sebagai hari sambutan kemerdekaan peringkat persekutuan.

Sambutan Hari Kemerdekaan adalah hari untuk kita seluruh rakyat Malaysia menghargai dan menginsafi kemerdekaan negara.  31 Ogos adalah tarikh kita bebas dari penjajahan dan hari kita berkerajaan sendiri.  31 Ogos adalah hari untuk kita mengingati dan mengimbas kembali sejarah negara.  Mengingati betapa sukarnya generasi dulu di bawah penjajahan barat dan Jepun.  Mengingati betapa kejamnya pengganas komunis.

31 Ogos adalah hari untuk kita mengingati dan menghargai perjuangan tokoh-tokoh negara dan anggota pasukan keselamatan negara.  Sebab itu program kesedaran sejarah mesti diperbanyakkan pada sambutan hari kemerdekaan.  Ini adalah hari untuk membina semangat patriotik pada negara.

Sumber : Kementerian Pendidikan Malaysia

Manakala 16 September pula adalah Hari KEBANGSAAN atau Hari Malaysia.  Ini adalah hari di mana tertubuhnya sebuah negara Malaysia dan cita-cita untuk membina satu bangsa Malaysia merangkumi Semenanjung, Sarawak dan Sabah.  Hari Kebangsaan atau Hari Malaysia pula adalah hari untuk kita seluruh rakyat Malaysia meraikan terbentuknya sebuah negara Malaysia.  Hari untuk kita meraikan kesatuan bangsa Malaysia yang menggabungkan kepelbagaian etnik dan budaya.  Hari kebangsaan adalah hari perpaduan.

Sebab itu pada sambutan hari kebangsaan atau Hari Malaysia, program membina perpaduan mesti diperbanyakkan.  Ini adalah hari untuk kita sesama rakyat meningkatkan keharmonian kita.  Hari kebangsaan ada hari untuk kita saling lebih kenal mengenal.  Sebab itu pada hari kebangsaan sepatutnya dianjurkan program mempromosi kepelbagaian budaya dan identiti etnik.  Inilah masanya kita berpeluang untuk kenali makanan, pakaian, bahasa, adat resam dan pantang larang sesuatu etnik.  Sepatutnya di sekolah, kejiranan dan di tempat kerja, dianjurkan program seperti ini.

16 September adalah hari membina rasa cinta dan sayang kepada bangsa Malaysia.  Ini adalah hari untuk membangunkan rasa nasionalis terhadap cita-cita membina sebuah bangsa Malaysia.  Sebenarnya ada bezanya antara Hari Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan.  Ada sejarah dan maknanya yang tersendiri. Itu pun jika kita sebagai rakyat Malaysia mahu ambil tahu dan cuba memahaminya.

Be the first to comment on "31 Ogos… Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan?"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares