Ulat Dalam Batu Pun Hidup

Maksud peribahasa ‘Ulat dalam batu pun hidup’ merujuk kepada Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah orang yang rajin berusaha tidak akan mati kelaparan. Akhir-akhir ini kita sering mendengar ungkapan ini dicorong-corong radio berkaitan sebuah iklan pelaburan saham.

‘Perhatian rakyat Malaysia!
Sampai bila nak menghadap jem. Ulat dalam batu pun boleh hidup. Bersama saya DDNK pakar pelaburan saham anda. Yang penting patuh syariah. Tak hensem takpe janji kaya.’

Tagline di atas terngiang-ngiang di telinga kita menandakan matlamat pengiklanan syarikat tersebut amat berjaya. Ada yang sehingga membuat troll dan sebagainya. Tetapi yang menariknya di dalam tagline tersebut terselit peribahasa sebagai penguat tagline itu

Peribahasa mempunyai maksud yang tersirat sedangkan terjemahan secara terus ungkapan ‘Ulat dalam batu pun hidup’ membawa maksud yang berbeza. Ada ketika dan waktu peribahasa ini diungkap tidak selari dengan maksud sebenar peribahasa ini. Kadangkala ungkapan ini disebut tatkala kita marah dengan majikan untuk menyatakan ulat dalam batu pun boleh hidup tetapi dalam erti makna yang berbeza dengan peribahasa tersebut. Sedar atau tidak?

Apa yang Gedung Minda Botak (GMB) ingin bincangkan di sini sebenarnya adalah erti maksud sebenar peribahasa tersebut dan waktu serta ketika ia diungkapkan agar maksud sebenar peribahasa ini tidak disalah ertikan dengan ‘duduk diam-diam pun boleh hidup’ umpama ulat duduk diam di bawah batu. Kan dah lain maksudnya?

Antara peribahasa lain yang menarik minat GMB adalah ‘Ulat lupakan daun’ yang bermaksud orang yang tidak menghargai jasa atau pertolongan orang lain. Banyak peribahasa Melayu yang menggunakan faktor-faktor alam sekitar sebagai kiasan. Kita sebagai orang Melayu memang kaya dengan adab dan sopan sehinggakan dalam pertuturan pun kita berkias untuk menjaga hati serta hubungan sesama kita. Cuma kadangkala peribahasa ini disalahgunakan sehingga menyakitkan hati.

Apa pun walau secanggih mana teknologi budaya bangsa Melayu jangan kita lupakan. Kalau dalam penyampaian iklan dan pemasaran kita mampu berbudi bahasa, menggunakan peribahasa, kias, berpantun dan sebagainya, kenapa dalam status dan komen-komen di media sosial kita hilang pertimbangan dan adab?

Tepuk dada tanya selera.

#Adabkatmana

Be the first to comment on "Ulat Dalam Batu Pun Hidup"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares