Amanah dan Cabaran Tingkat Agenda Bumiputera

Pagi ini Gedung Minda Botak tertarik dengan 2 tajuk ruangan Rencana di dalam Akhbar Utusan Malaysia (Isnin 17 Ogos 2020 bersamaan 27 Zulhijah 1441).  Rencana bertajuk “Pagar Jangan Makan Padi” (ditulis oleh saudara Ku Seman Ku Hussain) dan rencana bertajuk “Cabaran Tingkat Agenda Bumiputera” (ditulis oleh Prof. Madya Rohaimi Shafie) benar-benar menyungkil kenangan admin yang pernah berpengalaman menjadi penjaja tepi jalan.  2 artikel ini juga menggamit memori pesanan arwah ayah berkenaan soal “Amanah” yang amat-amat dititik beratkan dalam kehidupan seharian.

Keratan Akhbar Utusan Malaysia 17 Ogos 2020

Di waktu kita sedang menghadapi pandemik Covid19 ini kita melalui pelbagai isu serta kesukaran khususnya dari sudut ekonomi. Dalam masa yang sama isu politik yang tidak berkesudahan agak melesukan kita lebih-lebih lagi bagi orang Melayu yang menampakkan lebih banyak pecahan parti orang Melayu akibat ketidaksetiaan dan faktor kuasa.

Keratan Akhbar Utusan Malaysia 17 Ogos 2020

Agenda yang lebih besar untuk memperkasakan ekonomi orang Melayu kini agak terpinggir dan mengakibatkan majoriti orang Melayu yang terkesan akibat pandemik ini. Ada yang terus memandang kehadapan berhempas-pulas selepas kehilangan pekerjaan dengan menceburi bidang perniagaan secara kecil-kecilan.

Perniagaan “pacak” di tepi-tepi jalan bagai cendawan tumbuh selepas hujan. Fenomena ini terjadi akibat kesempitan kewangan dan dilihat sebagai jalan termudah untuk meneruskan kelangsungan hidup terutama bagi mereka yang menetap di kawasan bandar.

Jika dilihat berdasarkan keadaan semasa, mungkin pihak kerajaan boleh mengusahakan dahulu kaedah atau penyelesaian jangka masa pendek iaitu dengan menyediakan atau mengenalpasti lokasi-lokasi yang sesuai untuk perniagaan “pacak” (penjaja) ini diselesaikan.

Terdapat ramai penjaja “bidan terjun” yang mungkin tidak mempunyai pengetahuan yang baik berkaitan perlesenan, undang-undang kecil PBT dan lain-lain berkaitan perniagaan. Mereka ini hanya mencari nafkah demi kelangsungan hidup dan keluarga. Jika dilihat mereka hanya “melanggar” kerana ekonomi keluarga perlu dipertahankan apatah lagi sesi persekolahan yang baru bakal menjelang tiba beberapa bulan lagi. Maka keperluan kewangan yang tinggi untuk persediaan sekolah anak-anak perlu diutamakan oleh ketua-ketua keluarga.

Oleh yang demikian, untuk permulaan pihak PBT mungkin boleh memberi penerangan berkaitan Lesen Penjaja Sementara, lokasi-lokasi yang dibolehkan menjaja, menjalinkan kerjasama dengan pihak korporat untuk mengenalpasti penjaja berpotensi, mengadakan kursus-kursus berkaitan teknologi bidang pemakanan dan lain-lain aktiviti bagi memastikan penjaja-penjaja ini boleh meningkatkan ekonomi mereka sekaligus mengembangkan perniagaan.

Melihat pada isu terkini yang terjadi di Bandar Baru Sungai Buloh, pihak MBSA baru-baru ini telah mengadakan Program Penyusunan Semula Peniaga dan Penjaja di Dewan Meranti. Dalam program ini pihak MBSA membuka peluang kepada peniaga untuk memohon Permit Penjaja dan membuka kaunter-kaunter penerangan dari Jabatan Perlesenan, Jabatan Perancangan, Jabatan Bangunan, Jabatan Kesihatan Persekitaran dan Unit Task Force. Ini dilihat sebagai langkah yang baik meskipun setalah melalui isu yang diviralkan baru-baru ini. Diharap tiada lagi isu yang perlu diviralkan bagi kawasan-kawasan lain untuk dijadikan “anjakan paradigma” pihak kerajaan mengambil tindakan yang perlu bagi menangani isu seperti ini.

Ini adalah salah satu trend masyarakat bandar Bumiputera yang terjerut dengan faktor ekonomi pada waktu ini. Mungkin hikmah dari pandemik ini bakal melahirkan lebih ramai usahawan bumiputera berkualiti sekaligus menjana ekonomi negara. Jika kita lihat perniagaan sektor makanan adalah antara sektor perniagaan yang masih berlangsung di waktu PKP dan ini mungkin boleh menjadi salah satu fokus pihak kerajaan untuk menumpukan teknologi berkaitan bagi memperkasakan bidang perniagaan ini. Apa pun yang terjadi manusia tetap makan, sakit dan mati. Jadi sektor perniagaan yang terkait dengan 3 perkara tersebut tetap akan berjalan walau dalam keadaan apa sekalipun.

Dalam setiap keadaan atau cabaran yang tuhan turunkan kepada manusia tentunya mempunyai hikmah tertentu jika dilihat dari sudut positif. Kita bukan mencari kelemahan atau kesalahan, tetapi kita mahu “memecahkan ruyung” untuk mengenalpasti potensi diri masyarakat Bumiputera khususnya orang Melayu yang sejarahnya terkenal dengan kebolehan tertentu sehingga ke peringkat antarabangsa.

Bagi mereka yang diamanahkan di jabatan-jabatan kerajaan, serlahkan potensi anda dalam kepakaran anda mentadbir dari sudut positif. Bagi mereka yang ingin menjalankan perniagaan atau terpaksa meniaga untuk kelangsungan hidup, kita juga perlu berusaha mendapatkan ilmu atau informasi berkaitan untuk mengelakkan kesukaran di masa hadapan khususnya perkara yang melibatkan undang-undang, kebersihan, kesihatan dan pengurusan perniagaan. Jika kita berani terjun ke bidang perniagaan maka kita juga wajib berani menuntut ilmu. Kita semua menggalas amanah sebagai Khalifah di bumi tuhan tidak mengira pangkat, darjat mahupun kuasa, tidak mengira kita kakitangan kerajaan, swasta mahupun peniaga. Kerana kita semua bakal berhimpun di Padang Masyhar dan semua amalan kita bakal disoal dan dipertontonkan.

Be the first to comment on "Amanah dan Cabaran Tingkat Agenda Bumiputera"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares