Tips Mohon Kerja

Akhir-akhir ini terdapat banyak iklan jawatan kosong yang ditawarkan melalui sosial media seperti Facebook, Instagram dan sebagainya.  Ini memudahkan golongan pencari kerja untuk memohon jawatan yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat yang membuka jawatan kosong.  Apa yang menjadi dilema majikan atau Eksekutif Sumber Manusia adalah melayan pemohon atau pencari jawatan kosong ini yang seolah-olah tiada etika atau bahasa mudahnya “Adab”.   Jadi dalam ruangan “Kerjaya” kali ini ingin dikongsikan tips atau kaedah beretika untuk memohon jawatan kosong dari sumber iklan di Sosial Media.

Bertanya maklumat lanjut berkenaan jawatan kosong melalui Whatsapp/Telefon

Ada majikan yang meletakkan nombor telefon bimbit dan memberi kemudahan untuk berhubung/bertanya berkaitan jawatan kosong melalui aplikasi Whatsapp atau telefon.  Ingin diingatkan kepada anda yang mohon kerja, ini antara kaedah beretika jika anda mahukan maklumat lanjut :

  1. Baca iklan jawatan kosong dengan kefahaman yang jelas.

Kebiasaannya jawatan kosong yang ditawarkan ada dinyatakan di dalam iklan tersebut.  Harap jangan ada lagi soalan dari anda “Jawatan apa yang ditawarkan?” di dalam Whatsapp anda kepada majikan tersebut.

  1. Pastikan soalan atau pesanan yang mahu dihantar melalui Whatsapp adalah di dalam waktu bekerja.

Waktu bekerja bagi syarikat-syarikat kebiasaannya adalah di antara 9 Pagi – 6 Petang.  Diharap janganlah anda menghantar pesanan selepas waktu ini bagi menghormati privacy majikan atau pegawai bertanggungjawab.  Mereka juga manusia seperti kita.  Kebanyakan pencari kerja akhir-akhir ini kerap menghantar pesanan pada waktu malam atau tengah malam.

  1. Mulakan pesanan Whatsapp anda dengan ucap selamat dan memperkenalkan diri.

Beri ucapan “Assalamualaikum” atau “Selamat Sejahtera” sebagai adab dan mula perkenalkan diri seperti  “Saya Mohd Zakuan, ada terlihat iklan jawatan kosong bagi jawatan Eksekutif Jualan di syarikat tuan”.  Jangan sekali-kali memulakan pesanan anda dengan soalan seperti ini “Salam bro, ada jawatan kosong lagi ke… nak mohon leh?.  Kebarangkalian pesanan anda tidak dilayan adalah amat tinggi.

  1. Gunakan panggilan Encik, Puan atau Tuan dalam perbualan.

Jangan gunakan panggilan seperti you, awak, kau, bro, sis dan sebagainya kerana mereka yang menawarkan kerja bukanlah kawan atau saudara-mara kita dan adalah lebih baik jika penggunaan Encik, Puan dan Tuan semasa kita berkomunikasi.  Bukan kita memuja atau mengipas bontot bakal majikan, tetapi ini dipanggil etika atau ADAB.

Contoh perbualan Whatsapp pemohon jawatan kosong.

  1. Jangan gunakan singkatan perkataan dalam pesanan.

Ini adalah antara masalah di dalam komunikasi dalam bentuk pesanan bertulis di zaman ini.  Perkataan-perkataan disingkatkan seperti “Assalamualaikum” menjadi “Slm”,  “Sihat” ditulis “C-hat”, “sakit” ditulis “Sak8” dan berbagai-bagai lagi singkatan yang sukar difahami oleh golongan “ayah-ayah”.  Perlu diingat majikan bukanlah “friendlistWechat kita.

  1. Lampirkan Resume adalah antara yang terbaik.

Walaupun jawatan yang kita pohon itu adalah sebagai pelayan tetamu atau jawatan-jawatan yang mungkin tidak memerlukan kita menyediakan resume, akan tetapi jika anda memperkenalkan diri anda melalui resume anda akan dilihat bersungguh-sungguh dan amat profesional dalam urusan permohonan kerja.

 

Setakat ini dulu perkongsian admin kali ini kerana admin sendiri berdepan dengan pelbagai gaya komunikasi ala-ala budak-budak Wechat akhir-akhir ini sewaktu komunikasi di dalam Whatsapp yang bertanya tentang jawatan kosong.  Kepada lepasan SPM, STPM, Diploma, Ijazah, Master ataupun anda tidak mempunyai apa-apa kelayakan dalam pendidikan, adab bukan datang dari sekolah atau Universiti tetapi ianya lahir dari dalam diri kita.  Pasarkan diri anda dengan kualiti adab yang terbaik kepada bakal majikan anda.  Semoga kita semua dipermudahkan urusan dalam mencari nafkah!

Be the first to comment on "Tips Mohon Kerja"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*


Shares